Kisah Penyembelihan Lembu Betina (Al-Baqoroh : 67-71)

Kisah Penyembelihan Lembu Betina (Al-Baqoroh : 67-71)
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya:”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina “, mereka berkata:”apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan”. Musa menjawab :”Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil”.(67)

Mereka menjawab :”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami, lembu betina apakah itu ?” Musa menjawab:”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu ; dan kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu !”.(68)
Mereka berkata:”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya ?” Musa menjawab :”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya”.(69)

Mereka berkata :”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina itu, kerana sesungguhnya lembu itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu)”. (70)

Musa berkata:”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak bercacat dan tidak ada belangnya”. Mereka berkata :”Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya”. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir sahaja mereka tidak melaksanakan perintah itu. (71)[Q.S. Al-Baqoroh : 67-71]

Ayat-ayat terdahulu telah menerangkan sikap Bani Israel yang melampaui batas. Mereka tanpa merasa berdosa mencemari kemuliaan hari Sabtu. Sebagai balasannya maka Allah merobah tubuh dan perangai mereka menjadi kera-kera yang hina.

Selanjutnya Allah SWT menerangkan sikap mereka yang enggan untuk menjalankan perintah ; iaitu suatu sifat yang tercela yang sepatutnya tidak dimiliki oleh manusia, apalagi seperti Bani Israel yang sudah banyak menerima karunia.

Allah berfirman :“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya :”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina “, mereka berkata: ”apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan“. Musa menjawab :”Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil”.[Q.S. Al-Baqoroh : 67]

Apabila kita membaca ayat tersebut maka kita tidak mendapatkan apa sebabnya Allah memerintahkan mereka untuk menyembelihnya. Barulah kita mengetahui sebab penyembelihan itu pada ayat 72 dan 73 ; iaitu beberapa ayat kemudian. Apabila nak mengikut urutan, sepatutnya Allah menerangkan sebab penyembelihan terlebih dahulu, kemudian barulah perintahnya. Namun disinilah letak keagungan Al-Quran, dengan cara seperti itu akan nampaklah ilmu apa yang akan dijelaskan.

Apabila seseorang diperintahkan oleh temannya untuk merosakkan sampan umpamanya, tentu ia akan menanyakan sebabnya terlebih dahulu. Ia tidak akan merosakkannya apabila ia pandang perkara itu tidak sesuai dengan akal fikirannya.

Perkara ini terjadi apabila yang memerintah dengan yang diperintah berada pada kedudukan yang sama. Lain halnya apabila yang memerintah itu lebih tinggi kedudukannya daripada yang diperintah. Seperti panglima perang umpamanya. Tentera yang berada dibawahnya mestilah melakukan apa sahaja perintah yang diarahkan kepada mereka, tanpa bertanya apa sebab dan alasannya.

Hal itu adalah kerana yang memerintah lebih mengetahui daripada yang diperintah. Demikian pula yang dituju oleh ayat yang tengah kita tafsirkan ini. Allah SWT adalah Yang Menjadikan, Menghidupkan dan Membimbing Bani Israel.

Dan apabila Allah sudah memerintahkan untuk menyembelih seekor lembu betina maka sepatutnya mereka bersegera melaksanakannya, samada mereka mengetahui sebabnya ataupun tidak. Inilah yang dinamakan dengan fahaman yang bersifat keimanan. Sama halnya dengan perintah sholat, puasa, dan ibadah lainnya. Jika Allah telah memerintahkan ibadat-ibadat tersebut maka sebaiknya cepat dijalankan. Menjalankan sesuatu ibadat tidak kerana perintah Allah, tetapi kerana sebab yang sesuai dengan akal fikiran umpamanya, maka ibadah berkenaan tidak menghasilkan pahala apa-apa, kerana sisi iman yang merupakan dasar ibadah tersebut telah diketepikan.

Bererti dalam perintah penyembelihan lembu betina ini Allah ingin mengetahui keimanan yang ada didada Bani Israel. Adakah mereka memiliki keimanan yang tebal sehingga bersegera menjalankan perintah atau sebaliknya.

Rupanya mereka kaum yang memiliki keimanan yang tipis sekali. Jangankan bersegera menjalankan perintah tetapi mereka mencari-cari alasan untuk tidak melakukannya. Mereka beranggapan bahawa penyembelihan seekor lembu betina tanpa menyebutkkan sifat-sifatnya adalah seperti mempermainkan mereka. Tetapi itu hanyalah alasan yang dibuat-buat untuk lari daripada perintah. Melalui jawapan itu Nabi Musapun mengetahui bahawa mereka ini adalah orang-orang yang jahil tentang Tuhan mereka.

Maka beliaupun bermohon kepada Allah supaya dilindungi untuk tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang bodoh seperti mereka. Iaitu orang yang diperintahkan untuk melakukan perkara yang mudah tetapi tidak bersegera menjalankannya, bahkan mencari-cari alasan untuk menolaknya.

Allah berfirman:”Mereka menjawab: ”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami, lembu betina apakah itu ?”Musa menjawab:”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu, dan kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu!” [Q.S Al-Baqoroh : 68)]

Bentuk permintaan mereka ini menunjukkan tipisnya iman yang mereka miliki. Mereka tidak mengatakan kepada Nabi Musa “Pohonkanlah kepada Tuhan kita untuk kami” tetapi mereka menyebutkan “Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami”. Seakan-akan Allah SWT itu hanya Tuhan Nabi Musa, tidak Tuhan mereka. Tambah lagi permintaan mereka itu adalah permintaan yang tidak pada tempatnya.

Kalau Allah sudah memerintahkan untuk menyembelih seekor lembu betina maka penyembelihan mana-mana lembu betina yang ada bererti telah termasuk menjalankan perintah.

Namun dasar kaum yang keras hati, perintah tidak kunjung ditunaikan, kini malah mereka mengajukan permintaan yang lain. Allah berfirman :”Mereka berkata: ”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya?” Musa menjawab :”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya”.[Q.S. Al-Baqoroh : 69]

Bererti lembu tersebut sudah semakin susah untuk dicari, kerana apabila semakin banyak sifat-sifatnya semakin sedikit jumlahnya. Rasanya lembu itu sudah jelas, sudah jelas umur dan warnanya. Namun masih sahaja mereka belum melaksanakannya. Sekali lagi mereka meminta untuk dijelaskan lebih banyak sifat-sifatnya.

Allah berfirman : ”Mereka berkata:”Pohonkanlah kepada Tuhan-mu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina itu, kerana sesungguhnya lembu itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami insya Allah akan mendapt petunjuk (untuk memperolehi lembu itu)”. (70) Musa berkata :”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak bercacat dan tidak ada belangnya”. Mereka berkata:”Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya”. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir sahaja mereka tidak melaksanakan perintah itu”. [Q.S. Al-Baqoroh: 70-71]

Itulah Bani Israel yang hampir sahaja tidak melaksanakan perintah Allah, kerana lembu seperti yang diperintahkan Allah sangat susah untuk didapati. Namun itulah Bani Israel, berawal daripada sikap enggan menjalankan perintah maka mencari-cari alasan untuk lari daripadanya. Akhirnya, badan sendiri yang menanggung deritanya. (Dikutip dari Tafsir Ma’rifah karya DR Musthafa Umar).

0 comments:

Followers

Total Pageviews

Popular Posts

 
© Abu Fawwaz Offical WebBlog : SOOHOO21 , Offical Web : SOOHOO21
Template by : G-JO
;